Pilihan

 Hidup ini banyak pilihan. Banyak yang perlu difikirkan. Banyak persoalan tanpa ada jawapan.


Begitu juga dengan hidup ku. Aku baru rasa Tuhan tengah menduga aku dengan satu pilihan yang paling besar. Suatu keputusan yang dibuat dari pilihan ini akan memberi impak dan kesan untuk masa depanku. Mungkin aku selalu terbiasa mengikut jalur hidup yang Tuhan sudah tetapkan dengan niat pasrah dan redha jadi Tuhan pun merasa “Ah Danisha ini terlalu mudah hidupnya, ayuh kita campakkan satu pilihan besar. Mari kita tengok dia akan berpegang dengan prinsip hidupnya atau tidak”. 




Aku teringat dengan Novel Salina karya A. Samad Said yang baru ku khatam semalam. Bagaimana si Nahidah dipaksa menjadi pelayan oleh ibu tirinya. Dia ada pilihan untuk menolak tapi dia pilih untuk akur dengan arahan ibu tirinya. Aku agak marah kenapa dia tidak memberontak? Kenapa dia tidak mencari kerja lain sahaja dalam diam? Mungkin kerana faktor gadis remaja zaman itu yang telah dididik untuk mentaati ibu bapa membuatkan Nahidah bodoh begitu. Atau mungkin kerana faktor kemiskinan yang mendesak Nahidah menuruti sahaja jalur hidupnya. Sepanjang episod Nahidah menjadi pelayan itu, aku berdoa penulis tidak menyerahkan Nahidah kepada takdir yang zalim. Aku berdoa juga Nahidah kuat untuk melawan segala jantan hidung belang yang cuba mengambil kesempatan. Aku berharap Nahidah lari dari cengkaman ibu tirinya Zarina dan mencari pekerjaan lain. Namun hidup bukan selalu indah, satu watak lain yang dicetuskan si penulis iaitu Abdul Fakar yang sedari awal memang jantan tak guna, biawak hidup merampas doaku kepada Nahidah dan turut menghancurkan masa depan Nahidah. Kejamnya dunia. Kerana si Abdul Fakar, Nahidah tumpas, lancau ternoda, dia makin jauh terpesong. Memabukkan diri untuk melupakan kejahatan si Abdul Fakar, malah terjerumus ke tangan si Encik Salim yang sudah lama berdendam dengan kesombongan si Nahidah. Nahidah hilang pedoman. Ditambah sewaktu mabuk, dia telah membuka aibnya kepada semua penduduk Kampung Kambing termasuk si kekasih hatinya, Helmy. Kasihan Nahidah. Pilihan yang dibuat, membuatnya hancur. Kenapa kena ada pilihan? Tidak boleh ke kalau si Nahidah ikut sahaja abangnya, Mansur melarikan diri bersama Narto sewaktu awal babak cerita. Kalau dari awal dia berbuat demikian, meninggalkan Kampung Kambing dan ibu tirinya, sudah tentu dia selamat. Apa boleh dibuat, ini bukan cerita aku yang karang, ini cerita sasterawan negara yang bikin. 


Sewaktu ke Pesta Buku Antarabangsa kelmarin, aku ada terjumpa buku mengenai Pilihan. Aku lupa tajuknya tapi pengarangnya merupakan Profesor di sebuah universiti ternama negara. Bukunya itu juga hasil dari kajian yang beliau buat. Aku tertarik untuk membelinya kerana aku mahu mengenai pilihan hidup. Berapa kesalahan yang dibuat kerana kesalahan memilih? Statiknya ada. Namun aku lupakan niat itu kerana merasakan aku bakal bosan dengan buku itu, dan membeli buku berharga RM60 dan kemudian tidak dibaca amat merugikan. Namun setelah difikir balik, menyesal juga tidak membelinya. Nampak tak, aku telah tersalah memilih.



Aku teringat juga dengan buku “Mengapa Aku Harus Membaca” karya Abinaya Ghina Jamela. Buku dari seberang yang telah diterjermah dengan baik oleh penerbit Legasi Oakheart. Buku ini merupakan kompilasi esei si Abinaya sedari umur beliau 9 tahun. Aku kagum, usia muda begitu sudah mempunyai fikiran yang matang. Sudah pandai membaca buku-buku yang banyak perlu berfikir. Sudah membaca, dia menulis pulak akan apa yang dia suka dan tidak suka mengenai buku itu. Mengkritik dari sudut pandang kanak-kanak. Aku tertarik dengan ulasan dia mengenai buku Matilda. Dia mempersoalkan kenapa watak Matilda yang telah membaca banyak buku tapi tidak menulis/menjadi penulis lantas dapat membantu keluarganya. Aku kagum, kerana dahulu aku pun banyak membaca sewaktu belia remaja, setelah membaca aku boleh menaip bermacam-macam cerita di blog aku. Namun bila dewasa ini, aku jarang dapat membaca, apetah lagi menulis atau menaip di blog. Hobi jurnal aku pun hanya bertahan satu bulan sahaja sebelum aku sibuk melayan emosi dewasa ku. Aku juga mahu mengajak si Abinaya datang ke Malaysia dan melihat bagaimana kanak-kanak di sini dipaksa membaca untuk melengkapkan projek NILAM. Ya sekurang-kurangnya mereka membaca dan kemudian menulis apa yang dibacakan itu.


Berbalik dengan soal pilihan tadi, aku masih buntu.


Aku menduga Tuhan menguji aku dengan begitu besar. “Si Danisha selalu baik dengan orang-orang, apa agaknya reaksi orang kalau tetiba si Danisha ini menjadi jahat?” “Si Danisha punya prinsip girl jaga girl, apa jadi kalau tetiba Danisha melupakan prinsip itu?”


Sukarnya jadi terlalu baik, lantas dicenderungkan pilihan menjadi jahat. Ya, hidup itu pilihan. Mahu jadi baik atau jahat? Mahu jadi bujang tua atau isteri sekarat atau isteri muda? Maju jadi kaya atau miskin hina? Mahu hidup tenang atau hidup ditenangkan? Mahu dicintai atau mencintai? Mahu hidup keseorangan atau mati dilupakan? 


Banyak mahu nya, keputusannya nali.


Danisha tahu, walau dia mengikut jalur yang Tuhan tetapkan, mengabaikan pilihan ini dan menunggu jawaban dari rahsia Tuhan, mungkin tiada keputusan yang salah. Cuma Danisha butuh senjata untuk itu. SABAR.



Ulasan