Lautan
Aku takut laut.
Sebab laut itu luas tiada sempadan.
Jika kau terapung, kau akan terapung tanpa batasan.
Jika kau tengelam, kau tengelam hingga ke dasar yang tiada orang tahu.
Tambahan arus ombak yang mengambit, kadang ditarik ke laut dalam, kadang ditolak ke daratan.
Aku takut akan itu.
Aku kira umur 30 tahun dapat mengubat takutnya laut itu, lantaran aku terlalu tenang melihat geloranya biru hijaunya airnya.
Dan bila keserabutan kerja dan sakitnya kisah percintaan, pantailah yang selalu ku cari.
Mempratikkan seni termenung melihat laut.
Namun tahun ini, dengan yakinnya aku menempah 3 hari 2 malam di Pulau Redang dan 3 kali sesi snorkling.
Aku gigih membeli peralatan snorkling, baju renang, topi dan beg renang.
Kalini percutian bukan sahaja mengubat patahnya hati tetapi juga untuk healing hidup, detoxin perasaan dan akal fikiran.
Aku pergi bersama kekpah dan Mijah.
Sahabatku semasa di kolej. Yang masih setia berhubung walau sudah lain negeri dan lain kerjaannya.
Hari pertama di pulau, kami ponteng sesi snorkling pertama kerana percutian ini tidak mahu kami anggap seperti kelas atau program rasmi. Kami mahu santai sahaja. Kami hanya bermain di kolam renang dan kemudian baru celup-celup kaki di lagun pantai.
Hari kedua di pagi hari baru lah kami pergi snorkling di Taman Laut. Aku sudah bersemangat nak melihat ikan-ikan cantik. Saat di laut, Mijah membawaku ke tempat yang kakiku tidak dapat injak daratan. Aku mula risau. Ku ceburkan mukaku ke dalam air sepertimana yang telah aku pelajari di tiktok, namun ku rasa sesak ditambah kakiku tidak dapat berpijak di pasir, gelora ombak menambah rasa takutku dilambung jauh dari gigi pantai. Aku hampir menangis dan merayu Mijah untuk membawa aku kembali ke pantai. Bila sampai di pantai, aku menghela nafas lega. Aku kabir ke mereka berdua untuk teruskan aktiviti tersebut tanpaku. Aku cuba mencuba di tempat yang cetek dan kurasa selamat namun masih gagal bernafas dengan betul. Masih rasa takut. Masa yang diberikan untuk beriadah di situ hanya sejam, dan selama itu aku gagal untuk snorkling. Hampa sangat rasa. Bukan senang untuk dapat kesitu tapi tersia-sia kerana aku yang takut laut.
Petang tu kami ponteng lagi sesi snorkling kerana katanya akan dibawa ke laut lepas dan kawan-kawan ku pun rasa aku belum bersedia untuk itu. Jadi mereka mengajakku untuk bermain di lagun berhadapan resort kami. Kerana disitu juga masih ada ikan-ikan yang berenang bersama disamping airnya yang tenang dan jernih. Mungkin aku boleh tenang bermain disitu dan betul, aku mampu terbaring samping bersilang kaki di atas air (sebab bouyancy oleh life jacket yang disediakan oleh pihak resort).
Kulihat Mijah seronok mengepak melihat ikan-ikan yang berenang didalam air. Aku cemburu. Aku mahu keberanian seperti itu juga. Ditambah masa yang suntuk lantaran esok sudah kami pulang ke daratan. Aku tekad, aku cuba lagi terapung sambil menyelam namun masih gagal. Aku masih takut namun masih ada tekad dan azam. Aku memanggil Mijah dan meminta untuk memegang tangannya sambil aku snorkling. Dia bersetuju dan memberikan kata sokongan “Tenang dan bernafas” aku cuba seperti yang diajar dan Alhamdulillah aku berjaya. Hampir 10 minit aku bernafas didalam air. Dapatku lihat ikan-ikan berenang bersamaku. Betapa senyapnya didalam air. Betapa tiada hiruk pikuk luar. Hanya aku, ikan dan lautan.
Aku beranikan diri lepaskan tangan Mijah dan berenang sendirian. Menghayati sendiri “Chill dan bernafas”. Sepertimana hidup, yang perlu tenang, relaks dan teruskan bernafas walaupun derasnya ombak membadai. Teruskan bernafas, teruskan hidup. Tuhan sentiasa ada.
Saat pulangnya kami ke daratan keesokannya, aku sudah mengira hari untuk menempah lagi pengalaman bersama lautan.

Ulasan